hero yang penakut

HERO yang penakut


Rasa diri yang gagah dan kuat
Tunjuk samseng tak kena tempat
Pukul orang dirasanya hebat
Sehingga mangsa teruk melarat


Amat mendukacitakan. Kes buli melibatkan golongan pelajar semakin menjadi-jadi. Biarpun menyedari ia perbuatan yang tidak baik dan zalim, mereka begitu berbangga dengan tingkah sumbang berkenaan. Malah dirakam dan disebarkan. Mungkin pada mulanya untuk tontonan sendiri atau rakan-rakan yang sama membuli, akhirnya menjadi viral di laman sosial sehingga mengundang kemarahan orang ramai.

Tidak dinafikan, kes buli ini bukan baru. Namun, ia tetap perlu dipantau dan dipandang serius. Bayangkan, umur masih muda. Makan minum pun masih ditanggung ibu bapa. Tetapi nyawa orang lain dianggap seperti nyamuk. Mereka bagaikan sudah biasa dengan sepak terajang dan membelasah orang lain. Lalu ada mangsa yang koma, lumpuh dan lebih malang ada juga yang meninggal dunia.

Hal yang rememeh kadangkala diperbesarkan semata-mata untuk menunjukkan 'kehebatan'. Namun bernarkah pembui ini merupakan hero yang hebat? Jika benar hebat, kenapa membuli beramai-ramai? Kenapa tidak seorang lawan seorang? Itulah 'hero' yang hakikatnya penakut.

Benar, hero yang sebenar ialah mereka yang mapu menahan diri daripada kemarahan. Diri mereka sentiasa tenang. Oleh itu, renunglah diri. Membuli ini hanya menunjukkan emosi negatif menguasai diri.

PUNCA MEMBULI

Jika diteliti, latar belakang pembuli ini pasti dari 'daerah' yang keruh seperti keluarga yang bermasalah, kurang kasih sayang, pernah dibuli sebelum ini, terpengaruh dengan filem tontonan dan sebagainya. Mereka ini dalam kategori jiwa dan jasad yng tidak tenang.'

Sekalipun kelahiran sekolah agama, tetapi agama itu hanya luaran. Diri tidak meresap ke lubuk hati yang dalam. Barangkali tiada ikhlas dalam mengamalkan ilmu yang dipelajari. Sebab itulah ilmu dan amal merupakan perkara yang sangat mahal kerana tidak semua orang mampu merealisasikan.

BAHAGIA YANG TERCALAR

Buli itu tidak hanya melihatkan aspek fizikal malah juga mencakupi penderaan murung dan memencilkan diri.

Apakah perasaan anda sekiranya salah seorang adik-beradik anda suka membuli anda? Bayangkan bila anda hendak makan, makanan anda dirampas. Bila hendak mandi, tuala anda dilarikan. Bila hendak belajar, buku anda dikoyakkan. Dan bagaimana pula jika mangsa buli itu merupakan adik anda? Sudah tentu anda tidak suka, bukan?

Oleh itu wahai pembuli, letaklah dari anda di tempat mangsa buli. Membuli menjadikan hidup mereka tidak seindah dulu. Masa depan mereka hancur, hati ibu bapa terguris melihat nasib anak mereka dan reputasi Islam tercalar dek perbuatan anda. Tidakkah anda mempunyai sekelumit perasaan? Rasa bersalah. Rasa sedih melihat keadaan mereka yang anda buli. Benarkah tiada?

Lihatlah,
Apabila Allah tidak ada di hati
Kemusnahan, kerosakan dan kemudaratan akan mengambil tempat
Bersaudara dengan syaitan yang membisikkan kejahilan

HIDUPKAN BUDAYA BERKASIH SAYANG

Benar, kerana kurangnya kasih sayanglah lahirnya generasi pembuli. Lalu bagaimana mahu menghidupkan kasih sayang? Segalanya bermula dari rumah. Rumah itu perlu dijadikan syurga, lubuk dakwah dan tarbiah yang paling asas. Amat malang jika rumah menjadi sarang kepada kejahatan.

Bagaimana hendak menjadi orang yang soleh jika rumah yang sepatutnya penuh dengan kasih sayang dicemari dengan maki hamun dan kata-kata menyakitkan? Bimbang di sini, lahir manusia yang pendendam dan sentiasa memberontak.

Kerana itu, hidupkanlah rumah dengan bacaan ayat al-Quran, hadis Nabi s.a.w., zikir, solat berjemaah dan sebagainya. Rumah yang sentiasa bergema dengan ayat-ayat  Allah ini akan menjadikan penghuninya tenang dan sentiasa berkasih sayang. Itulah janji Allah. Jika tenang sudah tentu tiadalah penghuni bernama 'pembuli' di rumah tersebut.

MASIH BELUM TERLAMBAT

Jika ada di antara pembaca yang pernah 'bergelar' pembuli, masih ada sinar hidayah yang menanti. Yakinlah bahawa dosa anda akan diampunkan kerana Allah itu Tuhan Yang Maha Pengampun. Mulakanlah langkah itu. Mungkin ia telah lama berlalu, tetapi dosa itu masih lagi kekal dan berdaki.

orang yang pernah anda aniaya barangkali masih menanggung sisa kepedihan akibat perbuatan yang zalim dan mengaibkan. Tidakkah itu suatu dosa yang berpanjangan? Tidak rugi pun meminta maaf.

Cubalah dengan cara apa sekalipun supaya situasi yang pernah terjadi itu mampu dijernihkan. Tetapi haruslah dilakukam dengan bijaksana. Sebagai contoh, anda ingin berjumpa dengan ibu bapa mangsa yang masih dalam keadaan marah dan dendam. Kehadiran anda untuk bertemu mereka mungkin memburukkan situasi.

Oleh itu, gunakan ruang lain seperti bantuan orang tengah atau kiriman surat. Jika tiada kekuatan, berdoalah agar Allah mengampunkan kita melalui solat taubat. Jangan lupa mohon juga agar Allah mengampunkan si mangsa dan keluarga. Moga mereka mendapat sesuatu yang lebih baik di dunia dan akhirat.

Islam itu indah. Sentiasa ada cara, penyelesaian dan hikmah di sebalik kejadian. Mungkin Allah pilih kita agar menjadi insan yang sentiasa bertaubat dan dekat dengan-Nya. Sebab itu, jangan berhenti berdoa.

SALING BERASA TANGGUNGJAWAB

Secara ringkas, semua orang mempunyai tanggungjawab apabila berlaku kes seperti ini. Itulah peluang kita sama-sama bermuhasabah. Adakah kita menyokongnya? Adakah kita menjadi  puncanya? Adakah kita hany diam membisu? Adakah kita bersubahat? Adakah kita berusaha memperbaiki keadaan?

Kita umat yang bersaudara. Jadi sentiasalah saling berpesan dan membantu dengan apa jua cara agar reda Allah sentiasa bersama kita. Allah tidak melihat hasil serta-merta. Tetapi usaha murni yang digerakkan sekalipun dilihat kecil dan kurang memberi impak itu yang dinilai. Marilah kita sama-sama menangani gejala buli ini dengan sebaiknya.

Jadilah seperti angin yang membantu
Bukan ribut membawa rosak
Ayuhlah sama kita bersatu
Buli dan ganas
kita kecam dan tolak

"Ya Allah, kurniakanlah kami keselamatan agama, kesejahteraan tubuh badan, ketinggian ilmu dan keberkatan rezeki... Taubat sebelum mati, rahmat ketika mati dan keampunan selepas mati! Amin.'


www.facebook.com/fedtriyahya
fedtri@primeworks.com.my

Comments

  1. Assalam.. kalo kat asrama, kes buli ni dah jadi habits / normal.. si senior nk tunjukkan belang / pelakuan dendam ex senior dulu back to junier... heheh paham ker..??? hihiii

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam. . Haha. . fhm.. Tapi.. Kite sebagai seorang pemuda islam.. Jgn budayakan mcm tu.. Masa saya jdk senior.. Saye ade discuss kwn.. Kite sebagai senior kite berkuasa.. Jadi gunakan utk kebaikan.. Bkn utk membuli.. Kite harus igt lorh.. Manusia semua sama darjatnya.. Cuma junior kene hormat senior bknnye kene jadi bahan mainan senior.. Kita buli diorang mcm diorang tu xde perasaan je.. Kalau niat nk balas sbb ex senior dulu.. Bila nk tamat budaya ni?

      Delete

Post a Comment

Popular Posts