CASKAN KEUNIKAN AIR DALAM DIRI


ARTIKEL OLEH: NUR AIDAWATY RAFAN
sedang menyambung pengajian PhD dalam bidang sistem kawalan kejuteraan

Keupayaan air dan ciri-ciri unik padanya tidak perlu disangkal lagi. Molekulnya berubah-ubah mengikut keadaan di sekelilingnya; positif atau negatif. Justeru, air menjadi medium sangat baik untuk memindahkan tenaga-tenaga positif ke dalam badan kita.

sebahagian kandungan di dalam badan manusia juga terdiri daripada air. Ini bermakna badan manusia juga bertindak sebagaimana molekul air, perlu diberi cas-cas positif melalui tazkirah, membaca al-Quran, solat dan sebaginya untuk proses pembentukan sifat-sifat yang baik.

KEHEBATAN SIFAT-SIFAT AIR

Setiap kejadian Allah ada sebab dan fungsinya tersendiri. Namun, secara iktibar kita boleh melihat dari perspektif kejadian air. Mari kita lihat kehebatan sifat-sifat air!

1.FLEKSIBEL
Air boleh berubah-ubah bentuk tanpa menjejaskan kandungan asal. Kadangkala bentuk air ini zahir seperti ketulan ais dan adakalanya ia tidak mampu dilihat secara zahir seperti wap air.

2.AIR MEMPUNYAI BERAT
Kerana itu ia boleh dikira dan dinilai. Sama seperti sifatnya yang boleh dilihat mendatar apabila tenang.

3.PELARUT ZAT
Air dapat dijadikan alat pengukur. Zat-zat terlarut seperti gula, garam dan lain-lain dapat dilarutkan di dalam air menjadikannya satu larutan. Contohnya, gula yang terlarut di dalam segelas air dikenali sebagai air gula.

4.AIR MEMENUHI RUANG
Air bersifat menekan ke semua arah. Ia akan bergerak selagi ruang takungan air itu mempunyai saluran yang membolehkan air melaluinya. Oleh kerana itu, air dapat bergerak dari tempat tinggi ke tempat rendah dan meresap ke celah yg kecil.

AIR VS MANUSIA

Mari kita renungkan sifat-sifat air ini dan muhasabah diri kita sebagai manusia. Apa sifat diri yang kita bawa? Apa yang Allah telah tetapkan untuk kita? Jika air itu Allah jadikan dengan segala sifat yang baik dan memberi manfaat kepada orang lain, apatah lagi kita sebagai manusia.

Manusia diberi banyak kelebihan berbanding makhluk lain. Tetapi manusia sentiasa merasa tidak cukup dan punya keinginan yang bermacam-macam. Tidak salahnya berkeinginan kerana Tuhan itu Maha Memberi.

Namun adakalanya kita mahukan sesuatu tetapi kita gagal mendapatkannya. Malah yang kita tidak mahu, diberikannya kepada kita. Percayalah Allah yang telah membuat ketetapan itu. Maka Dia yang mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita. Kita hanya perlu tenang setenang air dan terus yakin kepada-Nya.

MEWAH DENGAN KETENANGAN

Kadangkala kewujudan diri kita pula mungkin menjadi ujian buat orang lain. Dan hadirnya orang lain menjadi ujian buat diri kita. Jika Allah menguji, berdoalah kepada-Nya memohon agar kita sentiasa diberikan kekuatan untuk menempuhi ujian-Nya.

Sebenarnya hidup kita sebagai manusia amat mudah dan tenang apabila kita menyedari yang Allah Maha Mengetahui segalanya. Hidup yang penuh kekusutan, kekecewaan, kemarahan, dendam dan kesakitan, semuanya akan berakhir dengan kehidupan yang menenangkan jika kita sentiasa letakkan Allah dalam diri.

Bersesuaian dengan apa yang dinyatakan oleh Allah s.w.t.:"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram hati dengan mengingati Allah. Ketahuilah hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang." (Surah al-Rad 13:28)

Begitu mudah untuk mewah dengan ketenangan. Lalu kenapa masih meraba-raba mencari ketenangan?

facebook: www.facebook.co/nuraidawaty
email: akirahumaira@gmail.com

sumber artikel: majalah gen-q isu 41

Comments

Popular Posts