GADIS MUSTAHADAH

ARTIKEL OLEH: NADHIRAH ABDUL LATIF
B.A BAHASA ARAB (Fiqh & Usul Fiqh) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia



"Eh kenapa darah saya masih keluar lagi? Ni dah lebih 15 hari."

Masalah darah wanita ini sering kali memeningkan. Ada yang beranggapan itu masih haid.Bukan. Itulah istihadah namanya. Darah istihadah ini telah pun dialami oleh kaun hawa sejak 1400 tahun yang lalu lagi.

Kisahnya Fatimah binti Abi Hubaisy telah bertanya kepada Rasulullah:"Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku sedang mengalami istihadah, maka aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?

Maka Rasulullah bersabda:Tidak, itu hanyalah darah penyakit bukan darah haid. Tinggalkan solat pada hari-hari haidmu. Jika masa haidmu sudah berlalu, maka mandilah dan dirikanlah solat" (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis ini, wanita mustahadah merupakan wanita yang suci. Maka wajib baginya menunaikan solat lima waktu dan berpuasa pada bulan Ramadan. Ibadah-ibadah lain seperti membaca al-Quran, beriktikaf di masjid dan sebagainya boleh dilakukan.

Jadi, kene berhati-hati ya. Pastikan diri tahu membezakan antara darah istihadah atau darah haid. Kalau tidak, bagaimana ibadah kita akan diterima Allah.

Ciri-ciri Darah Istihadah

1. Darah yang keluar melebihi tempoh maksimum haid;15 hari.

2. Darah yang keluar kurang dari tempoh minimum haid; sehari semalam (24 jam).

3.Darah yang keluar di antara tempoh dua pusingan haid kurang dari 15 hari waktu sucinya.

4. Darah yang keluar melebihi tempoh maksimum nifas; 60 hari.

5. Darah yang keluar sebelum berumur 9 tahun.

Mengenali Darah Istihadah
1. LIHAT WARNA DARAH
warna darah haid ialah merah kehitaman dan agak berbau. Manakala darah istihadah berwarna merah cerah, kekuningan dan tidak berbau.
Rasulullah  kepada Fatimah binti Abi Hubaisy:"Sekiranya itu darah haid, dikenali (oleh kaum perempuan). Maka tinggalkan solat. Namun jika bukan, berwuduklah kerana itu ialah darah penyakit." (Riwayat Abu Dawud)

TIP: Sekiranya tempoh kebiasaan haid anda ialah 7 hari, tetapi kali ini darah kehitaman keluar selama 12 hari dan darah kekuningan keluar  pada hari ke 13 hingga hari ke 17. Maka keseluruhan tempoh 12 hari tersebut ialah haid kerana darah hitam tersebut ialah warna darah haid. Manakala selebihnya ialah istihadah.

2. RUJUK TEMPOH KEBIASAAN HAID
Setiap wanita mempunyai kitaran haid yang tersendiri. Ada yang lima hari, tujuh hari, sembilan hari dan sebagainya.

Perkara ini telah pun dijeaskan oleh Rasulullah kepada Ummu Habibah:"Tinggalkanlah solat selama masa haidmu yang biasa kamu alami. Setelah tempoh itu, mandi dan solatlah." (Riwayat Muslim)

Jika tidak mengetahui kebiasaan haid, maka rujuklah kebiasaan haid para wanita iaitu enam atau tujuh hari seperti yang diberitahu oleh Rasuullah kepada Hamnah binti Jahsy.

TIP: Sekiranya kebiasaan haid anda ialah 6 hari, tetapi kali ini melebihi tempoh biasa, maka anda wajib menahan diri daripada melakukan sebarang ibadah. Ini kerana kemungkinan salah satu keadaan berlaku:

A - DARAH BERHENTI SEBELUM MELEPASI 15 HARI

Sekiranya darah berhenti pada hari ke-12, maka kesuluruhan tempoh tersebut ialah haid kerana masih berada dalam tempoh maksimum haid.

B- DARAH BERHENTI MELEPASI 15 HARI

Namun sekiranya darah berhenti pada hari ke-19, maka hanya 6 hari dikira haid dan selebihnya ialah istihadah. Oleh itu, wajib mandi dan mengqadakan solat yang tertinggal semasa tempoh tersebut.


STEP BY STEP

SOLAT GADIS MUSTAHADAH

1. pastikan waktu solat benar-benar masuk.

2.bersihkan kemaluan daripada darah.

3.pakai tuala wanita.
ia bertujuan untuk menahan atau mengurangkan darah keluar. Sekiranya darah masih keluar dan menitis, maka solat yang dilakukan tetap sah.

4.ambil wuduk.
setiap wuduk hanya sah digunakan untuk satu solat fardu sahaja. Apabila waktu solat fardu lain telah masuk, maka terbatal wuduk tersebut. Maka setiap kali mahu mengerjakan solat fardu, wajib memperbaharui wuduk.
ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w. ketika Fatimah binti Abi Hubaisy menceritakan masalah istihadahnya kepada Baginda: "Berwuduklah setiap kali hendak mengerjakan solat." (Riwayat al-Baihaqi)
Namun bagi solat sunat, harus melakukan seberapa banyak solat sunat dengan satu wuduk menurut mazhab Syafi'i.

5.segera menunaikan solat.
dikhuatiri darah keluar sebelum mengerjakan solat. Namun sekiranya terlewat menunaikan solat disebabkan memakai pakaian solat, berjalan menuju ke masjid, menunggu jemaah atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan solat, maka hukumnya harus.
Jika kelewatan berlaku tanpa sebarang keuzuran, maka terbatal wuduk tersebut dan harus diulangi semula didahului dengan membasuh kemaluan.

facebook.com/nadhrah.abdullatif
email: nadhirah@telagabiru.com.my

ANTARA WANITA YANG PERNAH MENGALAMI ISTIHADAH PADA ZAMAN NABI

1.ZAINAD BINTI JAHSY (isteri Nabi s.a.w)
2.UMMU HABIBAH BINTI JAHSY (isteri ABDUL RAHMAN BIN AUF)
3.HAMMAH BINTI JAHSY (isteri TALHAH BIN UBAIDILLAH)
4.SAHLAH BINTI SUHAIL (isteri ABU HUZAIFAH BIN UTBAH)
5.FATIMAH BINTI ABU HUBAISY.

credit to: majalah gen-q isu 41

Comments

Popular Posts