Segmen: Makarimal Akhlak

HATINYA MERINDUI KEBAIKAN (Siri Akhir)

Teks: USTAZ MOHAMAD WAHID HANIF (B.A. Usuluddin - Akidah & Falsafah, Universiti al-Azhar, Mesir)



Pada isu yang lepas kite telah memberikan gambaran zaid pada masa jahiliah. Namun gambaran beliau setelah masuk Islam sebagaimana yang tertulis dalam buku-buku sirah antaranya seperti berikut:

Setelah cukup banyak berita tentang Nabi s.a.w. yang sampai di telinga Zaid dan setelah mengetahui sekilas tentang ajaran Baginda, zaid menyiapkan kenderaannya dan mengundang seluruh pembesar kaumnya untuk berkunjung ke Yathrib dan menemui Rasulullah s.a.w. Zaid berangkat dengan kumpulan cukup besar daripada kabilah Thay. Zur bin Sadus, Malik bin Jubair dan Amir bin Juwain serta lainnya turut bersama dalam kumpulan tersebut. Setibanya di Madinah, mereka terus menuju ke Masjid Nabawi yang agung dan mengikat tunggangan pada pintu masjid itu.

Ketika mereka memasuki masjid, Rasulullah s.a.w. sedang berkhutbah di atas mimbar, Kata-kata Baginda sangat memukau. Mereka kagum dengan wibawa Baginda sehingga semuanya mendengarkan dengan penuh minat dan terbuai dengan khutbah tersebut.

Ketika Rasulullah s.a.w. melihat kedatangan mereka, Baginda berkata kepada kaum Muslimin: "Sesungguhnya aku lebih baik daripada Uzza (berhala) dan daripada apa-apa pun yang kamu sekalian sembah. Aku lebih baik daripada unta hitam yang kamu sekalian sembah selain Allah."

Kata-kata Rasulullah s.a.w itu masuk ke dalam diri Zaid al-Khail dan ahli rombongannya, tetapi dalam bentuk yang berbeza. Sebahagian mereka menerima kebenaran dan menyambutnya, namun sebahagian yang lain berpaling dan menolaknya dengan sombong.

Zaid Menyukai Kebaikan



Melihatkan kedudukan Rasulullah s.a.w. yang begitu agung, dikelilingi oleh sekian ramai orang yang beriman dan pandangan-pandangan yang lembut, rasa dengki dan benci terus menyelimuti Zur bin Daus. Ketika itu dia berkata kepada kumpulannya: "Aku melihat orang ini akan menguasai seluruh kabilah Arab. Demi Allah, aku tidak akan pernah membiarkan diriku dikuasainya." Dia terus pergi ke negeri Syam, lalu mencukur seluruh rambutnya dan memeluk agama Nasrani.






Sementara itu, Zaid dan anggota kumpulan lainnya memiliki pandangan yang berbeza. Selesai Rasulullah s.a.w. menyampaikan khutbah, Zaid berdiri di tengah kerumunan kaum Muslimin. Zaid memiliki paras yang tampan, berbadan tegap dan tinggi sehinggakan kakinya boleh berjuntai menyentuh tanah seperti menunggang seekor keldai tatkala beliau menunggang kuda. Dengan ketinggian badannya dan suara yang lantang, beliau berkata: "Wahai Muhammad, aku bersaksi tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan engkau adalah utusan Allah!" Rasulullah s.a.w. memandang ke arahnya sambil bertanya: "Siapakah engkau?" Zaid menjawab: "Aku ialah Zaid al-Khail bin Muhalil."






Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: " Engkau ialah Zaid al-Khair (Zaid yang baik), bukan Zaid al-Khail. Aku bersyukur kepada Allah yang telah membawamu dari daratan dan gunung serta melembutkan hatimu untuk menerima islam."






Kemudian Rasulullah s.a.w. mengajak Zaid ke rumahnya. Baginda diiringi Umar al-Khattab dan beberapa orang sehabat. Setibanya di rumah, Rasulullah s.a.w. memberikan tempat bersandar kepada Zaid, tetapi Zaid menolaknya kerana berasa segan untuk duduk dengan bersandar di hadapan Rasulullah s.a.w. Berkali-kali Baginda menghulurkan sandaran kepada Zaid, tetapi beliau menolaknya tiga kali.






Lebih Hebat daripada yang digambarkan






Setelah semua yang hadir duduk dengan tenang, Rasulullah s.a.w. berkata kepada Zaid al-Khair: "Wahai Zaid, aku sering diberikan gambaran tentang seseorang, tetapi setelah melihatnya secara langsung, aku selalu mendapatinya kurang daripada yang digambarkan kepadau, kecuali engkau."






Baginda bertanya:"Bagaimana keadaanmu hari ini, wahai Zaid? Zaid menjawab: "Hari ini aku mendapati diriku mencintai kebaikan dan orang-orang baik yang mengerjakan kebaikan . Jika aku mengerjakannya, aku yakin akan mendapat pahala dan jika aku tidak sempat mengerjakannya maka aku akan merindukannya."






Rasulullah s.a.w. menambah:"Itulah tanda-tanda kebaikan daripada Allah yang diberikan kepada orang yang dikehendaki-Nya." Zaid membalas:"Aku bersyukur kepada Allah yang telah membuatku sesuai dengan yang diinginkan oleh Allah dan Rasul-Nya."






Kemudian Zaid memandang Rasulullah s.a.w sambil berkata: " Wahai Rasulullah, berikan kepadaku 300 orang penunggang kuda. Aku menjamin akan menyerang dan berhasil mengalahkan mereka."






Mendengarkan pertanyaan Zaid, Rasulullah sa.w. terpukau dengan semangat beliau yang besar. Rasulullah s.a.w. memujinya:"Sungguh hebat dirimu, wahai Zaid. Orang seperti apa engkau ini?"






Demikianlah semangat Zaid al-Khair untuk berbuat kebaikan sehingga dikagumi Rasulullah s.a.w.


sumber: MAJALAH GEN-Q ISU NO.14




"Hari ini aku mendapati dirku mencintai kebaikan dan orang-orang baik yang mengerjakan kebaikan. Jika aku mengerjakannya, aku yakin akan mendapat pahala dan jika aku tidak sempat mengerjakannya, maka aku akan merindukannya."

Comments

Popular Posts